Friday, February 23, 2007

Pil pelangsing, teh herba RM6j dirampas

Oleh Sazarina Shahrim
BH 23/2/2007

Ubat dari China antara produk tak berdaftar bernilai RM18j

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan merampas pelbagai produk kesihatan tidak berdaftar bernilai lebih RM18 juta, dengan hampir 40 peratus membabitkan sejenis pil pelangsing badan dari China, yang dikaitkan dengan kematian seorang suri rumah di Alor Star.

Rampasan ubat pelangsing dan teh herba bernilai RM6 juta itu dibuat dalam tempoh enam bulan, selepas Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan mengharamkan produk itu, Ogos lalu, kerana mengandungi racun berjadual Sibutramine.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Datuk Che Mohd Zin Che Awang, bagaimanapun kesal kerana syarikat jualan langsung yang memasarkan produk itu masih terus menjualnya secara terbuka.

Malah, katanya, peguam syarikat terbabit menghantar surat menuntut Kementerian Kesihatan menghentikan rampasan produk berkenaan.“Peguam kami sedang menguruskan perkara itu, tetapi tindakan mereka meneruskan penjualan ubat berkenaan keterlaluan kerana membahayakan nyawa orang ramai,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Pada 15 Februari lalu, seorang suri rumah, Normala Shahidan, 33, dari Kampung Gunung Keriang, Alor Star meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Alor Star, dipercayai akibat mengambil ubat pelangsing dan teh herba itu.Kematian ibu dua anak itu mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak yang mendesak Kementerian Kesihatan mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan produk seumpama itu tidak memasuki pasaran.

Tinjauan Berita Harian sehingga minggu lalu, ubat itu masih terus dijual syarikat terbabit yang berpangkalan di Subang, Selangor, walaupun pendaftaran produk berkenaan dibatalkan sejak Ogos tahun lalu.

Ubat itu dikesan mengandungi racun berjadual Sibutramine yang boleh menyebabkan kesan serius terhadap tekanan darah serta kardiovaskular.

Che Mohd Zin berkata, kementerian sudah mengambil pelbagai langkah untuk mencegah produk tidak berdaftar dijual di pasaran, termasuk memperkenalkan pelekat keselamatan hologram pada kotak atau bungkusan ubat.“Ini memudahkan lagi kita mengesan produk yang tidak mendaftar serta mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit,” katanya.

Malah, katanya, rampasan pelbagai produk kesihatan tidak berdaftar bernilai lebih RM18 juta itu, meningkat berbanding tahun sebelumnya.

No comments: