Tuesday, March 13, 2007

Ada iklan pelangsing di TV tanpa kelulusan

UTUSAN MALAYSIA
12.03.2007

MUAR 11 Mac – Ada stesen-stesen televisyen didapati masih menyiarkan iklan produk pelangsing badan tanpa mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat-ubatan Kementerian Kesihatan, sebagaimana diwajibkan ke atas semua media cetak dan elektronik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ini berlaku disebabkan kelemahan penguatkuasaan terhadap peraturan itu.

“Kita selalu minta stesen televisyen supaya merujuk kepada Lembaga Iklan Ubat- ubatan Kementerian Kesihatan sebelum menyiarkan iklan berkaitan dengan ubat- ubat termasuk pil pelangsing badan. Malangnya, sebahagian daripada stesen televisyen itu tidak melakukannya,” katanya selepas menghadiri majlis jamuan makan malam anjuran MCA bahagian Ledang di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan ada antara wanita yang mengalami masalah buah pinggang selepas mengambil pelangsing badan untuk mengurangkan berat badan.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa tidak ada cara mudah untuk mengurangkan berat badan seseorang, kecuali dengan amalan pemakanan dan senaman.

“Kita nasihatkan mereka yang ingin ambil ubat-ubat sedemikian, supaya minta nasihat doktor terlebih dahulu, kemudian pastikan ubat-ubat ini mesti sudah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kalau sesuatu ubat pelangsing badan itu benar-benar berkesan, mereka tidak perlu khidmat jurujual. Golongan wanita yang ingin menguruskan badan tentu beratur untuk mendapatkannya,” tambah beliau.

Menjawab soalan pemberita beliau berkata, menggunakan ubat-ubatan seperti pil pelangsing badan merupakan salah satu daripada faktor peningkatan pesakit buah pinggang baru, menjangkau sehingga 2,500 pesakit setahun.

Bagaimanapun katanya, mereka yang menghidap penyakit kencing manis masih merupakan golongan terbesar yang menghidap sakit buah pinggang.

Pengamal perubatan tradisional perlu anggotai Lembaga Pengiklanan

BERNAMA

KUALA LUMPUR 11 Mac – Pengamal perubatan tradisional dan pelengkap yang berkelayakan perlu dilantik menganggotai Lembaga Pengiklanan Perubatan Kementerian Kesihatan untuk menasihati mereka dalam pengiklanan ubat-ubatan seperti itu.

Bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Lee Yan San berkata, sungguhpun persatuan itu tidak menentang amalan perubatan tradisional dan pelengkap namun perlu ada kawalan ke atas perubatan itu yang perlu diamalkan secara ‘jujur serta beretika.’

“Sungguhpun terdapat undang-undang ketat yang menghalang pengiklanan ubat-ubatan yang tidak dikawal, pelaksanaan undang-undang itu tidak mencukupi dan dalam sesetengah kes ia tidak berkesan disebabkan kekurangan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau menyampaikan ceramah mengenai Media dan Kesihatan: Sains dalam Pengurusan Kanser dan Penyakit Kronik berasaskan Tanda-Tanda yang dianjurkan oleh Persatuan Onkologi Malaysia dan MMA di sini hari ini.

Yan San berkata, terdapat pengiklan tidak berprinsip yang seolah-olah mengelak diri daripada tiga pihak berkuasa iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Penerangan yang bertanggungjawab memeriksa iklan sedemikian.

Bagaimanapun, lembaga itu mengharamkan pengiklanan produk terbabit untuk 20 penyakit termasuk kanser, hipertensi, diabetes, AIDS, penyakit hati dan penyakit buah pinggang, katanya.

“Harus ditegaskan bahawa Kementerian Kesihatan meluluskan perubatan tradisional hanya berdasarkan keselamatan dan kualiti bukan kemujarabannya,” katanya