Thursday, February 8, 2007

Boleh ancam nyawa

HARIAN METRO
08.02.07


KUALA LUMPUR: Penjualan pil dan majun yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dilarang kerana dikhuatiri mengandungi bahan berbahaya yang boleh mendatangkan kesan sampingan.

Malah, sesetengah ubat yang didakwa boleh menggugurkan kandungan dan dijual secara terbuka di kedai ubat tradisional serta tabib Cina, dipercayai boleh mengancam nyawa pengguna.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa Farmasi KKM, Eishah Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai penjualan ubat yang tidak mempunyai sijil pengesahan pihak berkuasa dan sedang melakukan pemantauan terhadapnya.

Menurutnya, selain tidak disahkan, ubat terbabit dipercayai tidak selamat digunakan kerana kandungannya tidak diketahui.“Jika seseorang mengambil ubat yang tidak disahkan selamat oleh kementerian, mereka terdedah kepada pelbagai kesan sampingan seperti alahan dan penyakit yang boleh membahayakan kesihatan.

“Kami akan menyelidik pil serta majun menggugurkan kandungan itu dan melakukan siasatan terperinci terhadap peniaga yang didapati menjual ubatan tanpa pengesahan KKM,” katanya.

Beliau mengulas penjualan pil dan ubat tradisional berharga semurah RM3 sebutir yang didakwa mampu menggugurkan kandungan sehingga menjadi rebutan pasangan remaja yang terlanjur.

Menurutnya, peniaga dan pengedar ubat yang didapati melanggar undang-undang boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan) 2000 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Mereka juga boleh didakwa mengikut Akta Racun 1952 (Disemak 1989) yang sabit kesalahan pertama boleh didenda RM3,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

No comments: