Monday, January 22, 2007

BERITA Ubat Tidak Berdaftar

HARIAN METRO
17.01.07

Gudang sorok ubat haram
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Siasatan terperinci terhadap lambakan ubat-ubatan haram yang dijual berleluasa di seluruh negara akhirnya membawa kepada pembongkaran sebuah gudang misteri di Jalan Ipoh di sini.

Gudang itu dijadikan lokasi menyimpan ribuan kotak ubat haram yang diseludup.Ubat-ubatan haram terbabit yang dibawa masuk melalui pelabuhan disorokkan dalam gudang berkenaan bersebelahan kilang getah dan tepung.

Ternyata usaha berterusan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmaseutikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akhirnya berjaya menghidu lokasi gudang empat tingkat berkenaan, sekali gus merampas pelbagai jenis ubat-ubatan yang dianggar bernilai hampir RM500,000, pagi semalam.

Operasi diketuai Ketua Penolong Pengarah Farmasi, Ahmad Nozrin Tahirin bersama lebih 20 anggota dari Bahagian Penguat kuasa Farmaseutikal dan cawangan Penguat kuasa Farmasi Wilayah Persekutuan.

Nozrin berkata, gudang usang terbabit yang diawasi beberapa pekerja diserbu jam 11.30 pagi selepas siasatan rapi dilakukan.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya melakukan beberapa serbuan di seluruh negara, terutama kedai ubat tradisional, khususnya di luar bandar untuk merampas pelbagai ubat-ubatan haram.

“Berikutan itu, Bahagian Penguat Kuasa Farmaseutikal cuba mengesan dalang yang membawa masuk ubat terbabit sebelum mengedarkannya di pasaran tempatan.

“Hasilnya, gudang ini ditemui bersama ratusan kotak ubat haram yang sedia untuk diedarkan,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati lebih 13 jenis ubat-ubatan yang disimpan di situ tidak pernah didaftarkan dengan KKM.

“Kebanyakan ubat tradisional itu yang diimport dari China tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan dikesan mengandungi steroid dan pelbagai kimia berbahaya lain yang belum dikenal pasti.

“Pemeriksaan turut mendapati ubat-ubatan itu disimpan bersama ratusan tin daging babi dan pelbagai makanan yang turut diimport dari China untuk pasaran tempatan,” katanya.

Sumber kementerian pula berkata, hasil pemeriksaan mendapati 13 jenis ubat didapati tidak berdaftar dan diragui kandungannya termasuk Bird Nest, Chi Sing Char, Shuangliao, Fish Oil, Chinese Garlic Tablet, Ginseng Extract dan pelbagai produk tradisional dalam bahasa Kantonis.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa farmasi turut menemui beberapa kertas pelekat nombor pendaftaran palsu digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Malah, ada antara produk yang dirampas didapati menggunakan nombor pendaftaran MAL palsu.

“Kami percaya operasi rampasan ini yang terbesar dilakukan Bahagian Penguat kuasa Farmaseutika pada tahun ini,” katanya.

Tindakan menyimpan dan mengedar ubat-ubatan tidak berdaftar boleh didakwa mengikut Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan pemilik syarikat boleh didenda sehingga RM50,000.

Berikutan itu, semua ubat terbabit dirampas sebelum dihantar ke ibu pejabat Farmasi Jabatan Kesihatan, Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

No comments: