Thursday, April 12, 2007

Bahan anti-HIV Ditemui Dalam Tongkat Ali

UTUSAN MALAYSIA
12.04.07

KUALA LUMPUR 11 April – Bahan aktif daripada tongkat ali yang dibangunkan untuk penghasilan nutraseutikal dan fotofarmaseutikal boleh berfungsi sebagai antibarah, antimalaria dan anti-HIV.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Prof. Dr. Mohd. Rudin Ab. Ghani berkata, penemuan itu didapati hasil Program Penyelidikan Malaysia dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat dalam bidang bioteknologi.

“Bahan aktif daripada tongkat ali yang boleh dibangunkan untuk penghasilan nutraseutikal dan fotofarmaseutikal iaitu farmaseutikal yang berasaskan tumbuhan seperti afrodisiak, antibarah, antimalaria dan anti-HIV,” katanya ketika menjawab soalan Bernard S. Marat (BN-Pensiangan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nutraseutikal ialah bahan yang biasanya dijual dalam bentuk ubatan dan dibuktikan mempunyai kesan fisiologi atau mencegah penyakit kronik.

Tambah beliau, khasiat yang ditemui terbahagi kepada dua subprogram iaitu Natural Product Discovery melibatkan tumbuhan ubatan Malaysia iaitu tongkat ali dan pegaga serta Oil Palm Biotechnology menggunakan minyak sawit.

“Program ini melibatkan kerjasama penyelidikan antara MIT dan institusi-institusi penyelidikan universiti di Malaysia bertujuan membangunkan landasan bagi industri bioteknologi lestari di negara ini,” katanya.

Di bawah program yang melibatkan tongkat ali atau nama saintifiknya Eurycoma longifolia dan pegaga (Centella asiatica), beliau berkata, objektif utamanya ialah menggunakan teknologi terkini bagi meningkatkan nilai sumber yang terdapat di Malaysia.

“Kos subprogram tersebut hanya RM29.7 juta dan bukan RM48 juta seperti yang dibangkitkan Bernard,” ujarnya.

Katanya, melalui subprogram itu, tiga paten telah difailkan di Malaysia, Amerika Syarikat dan Jepun.

Sebuah syarikat bioteknologi tempatan kata beliau, berminat untuk melesenkan paten ini bagi menghasilkan produk berasaskan tongkat ali.